Banjir Malaysia Disember 2021 merupakan kejadian banjir yang terburuk melanda kawasan Semenanjung Malaysia. Banjir ini terbentuk susulan hujan lebat yang berterusan sejak 17 Disember merentasi semenanjung dari Laut Cina Selatan disamping musim monsun serta kejadian air pasang. Banjir mula terjadi di beberapa negeri seperti di Selangor dan Pantai Timur. Dikhabarkan bahawa kawasan banjir di Selangor sehingga berlaku banyak kerosakan dan melibatkan kehilangan banyak nyawa akibat mati lemas.
Tim Sadaqah Centre melaksanakan operasi Misi Bantuan Banjir selama 2 minggu bermula 19 Disember 2021 sehingga 6 Januari 2022 untuk membantu mangsa-mangsa banjir di beberapa Kawasan sekitar Selangor iaitu di Sungai Buloh, Sepang, Dengkil, Parit Mahang, Labohan Dagang, Kampung Asahan, Bestari Jaya dan juga Merbau Sempak.
Tim kami bersama para sukarelawan berganding bahu melaksanakan tugasan pembersihan rumah-rumah mangsa banjir. Operasi pembersihan dan pelupusan giat dilakukan dikawasan yang agak teruk setelah banjir sudah surut. Kebanyakan tempat kami pergi masih dipenuhi dengan lumpur dan selut. Dengan adanya tenaga dan kudrat tenaga anak-anak muda ini, beberapa rumah mangsa banjir telah berjaya dikemas dan dicuci.
Terasa sedih dan sebak melihat keadaan mereka. segalanya hilang dengan sekelip mata. Banyak kerosakan yang teruk melibatkan kenderaan, kediaman dan banyak lagi. Kelihatan jelas raut wajah mereka dalam keadaan sangat letih. Pandangan mereka kosong. Mereka juga menyatakan sangat trauma jika hujan turun pada waktu malam sehinggakan tidak dapat melelapkan mata!
Berkali-kali ucapan terima kasih telah diucapkan dan salah seorang dari mangsa banjir berkata “Allah hadirkan kamu semua tepat pada masanya untuk bantu kami disini. Kami dirumah ini, yang tinggal hanyalah warga tua dan juga beberapa orang wanita. Tiada kudrat lelaki untuk bersihkan barang-barang seperti katil, almari dan lain- lain yang sudah diserap dek air. Tak termampu kami nak angkat dengan kudrat wanita ini. Barang-barang ini pula perlu segera dikeluarkan kerana bau lumpur sangatlah tidak menyenangkan. Terima kasih yang tak terhingga kerana datang membantu. Hanya Allah saja yang dapat membalas kebaikan kamu semua. Semoga Allah kurniakan ganjaran yang berlipat ganda untuk kamu semua. Inshaa Allah”.
Kami juga bukan sahaja terlibat dalam operasi pembersihan, malahan kami juga telah mengagihkan bantuan seperti pek makanan panas dan juga makanan kering, wang tunai, toto, bantal, barangan peribadi, pakaian solat lelaki dan juga wanita serta pakaian kanak-kanak.
Jutaan terima kasih kepada semua yang telah menyumbang dari segi tenaga, wang tunai dan sebagainya. Mudah-mudahan Allah memandang setiap usaha kita walau sekecil zarah. Inshaa Allah.





0 Comments